Sejarah

KUPIAH HAJI MOHD IDRIS

PENGENALAN :

KUPIAH BUKIT MERTAJAM juga dikenali sebagai KUPIAH HAJI MOHD IDRIS dan hari ini disebut KUPIAH APATAH atau KUPIAH PATAH. Ketiga-tiga nama ini mempunyai hubungkait yang rapat dengan BUKIT MERTAJAM yang merupakan tempat pengeluarannya, HAJI MOHD IDRIS merupakan perekaciptanya dan APATAH (ABD PATAH BIN HAJI MOHD IDRIS) adalah anak keempat HAJI MOHD IDRIS yang mewarisi pengeluarannya. Berikut dijelaskan serba sedikit sejarahnya:-

HAJI MOHD IDRIS BIN HAJI ARSHAD 1914-1994

Haji Mohd Idris adalah anak kepada seorang yang berketurunan Banjar (Alai) iaitu Haji Arshad bin Hj Yasin bin Hj Layang berasal dari Banjar Masin, Kalimantan, Borneo. Hj Mohd Idris dilahirkan di Masjid Tinggi Perak, setelah berumur 13 tahun beliau berhijrah ke Bukit Mertajam kerana mengejar cita-cita pengajiannya dalam bidang agama. Memenuhi tuntutan pengajiannya beliau mula menceburi bidang jahitan ketika masih berumur lebih kurang 16 tahun. Dua tahun selepas itu beliau sudah mahir menjahit baju melayu dan sewaktu inilah beliau mula merekacipta apa yang disebut KUPIAH hasil dari penelitian ke atas songkok dari India (jenis lipat). Mesin jahit yang dikuasakan dengan tangan digunakan pada waktu itu (1932). Selama dua ke tiga tahun beliau mencuba dari sebiji ke sebiji sambil menjualnya kepada pelajar-pelajar yang ada pada waktu itu (PONDOK AL-MASRIYAH). Kupiah jahitannya yang mementingkan mutu dan seni jahitan telah berjaya mendapat sambutan di negeri Kedah, Kelantan, Perak dan Melaka iaitu sekitar tahun1936, sempena terkenalnya kupiah pada tahun tersebut maka jenama ini meletakkan 'SEJAK 1936' sebagai tahun penubuhan dan permulaannya. Sewaktu itu 15 orang pekerja diambil bekerja dengan Haji Mohd Idris kerana tempahan yang begitu banyak diterima pada waktu itu. Keadaan ini berlarutan ke tahun 1960an, dimana pada tahun tersebut banyak pihak yang mencuba meniru hasil buatannya. Haji Mohd Idris mula mengurangkan keluarannya hinggalah beliau pergi menunaikan fardhu haji di Mekah pada tahun 1969/70. Sekembalinya dari Mekah beliau tidak lagi aktif mengeluarkan kupiah dan hanya menerima tempahan sahaja serta tidak lagi menyimpan stok. Bermula dari ketika inilah anaknya yang bernama ABD PATAH mula mempelajari membuatnya.

HAJI ABD PATAH BIN MOHD IDRIS 1950 - Sekarang

Beliau dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan bersekolah di Sekolah Rendah Tanah Liat. Setelah tamat tingkatan 5 sekolah pertukangan (Vocational) dan bakat seni pertukangan ini sedikit sebanyak membantu dalam pembuatan ini, selang beberapa bulan selepas itu beliau (Abd Patah) mendapat tawaran di IKM dalam bidang jahitan yang menambahkan lagi pengalaman beliau kearah pembuatan kupiah ini. Sambil menjahit baju beliau membuat kupiah hingga beliau mendapat tawaran guru seni pertukangan kayu dan tin, juga menambahkan pengetahuan dalam bidang ketukangan. Sekembalinya dari bertugas ditempat yang jauh, kira-kira 1982 beliau mula menumpukan kembali dalam bidang jahitan. Oleh kerana tempahan kupiah yang masih ada, Haji Mohd Idris menyerahkan terus pembuatannya kepada anaknya Haji Abd Patah, ketika itu pengeluaran kupiah masih lagi dalam manual ataupun jahitan tangan. Semua pengalaman dalam bidang yang pernah diceburinya diguna-pakai dan diadaptasi untuk meningkatkan mutu pengeluaranya. Beliaulah yang bertanggung jawab mengubahnya dari manual kepada semi-auto dengan menghadiri beberapa pameran mesin (1989-1990). Dari pendedahan pameran tersebut, beliau telah berjaya menukarkan cara penegeluaran kupiah dari manual kepada semi-auto yang rekaciptanya mengambil masa kira-kira 8 tahun (1998). Walaubagaimanapun, ianya masih belum tepat sehingga tahun 2002 barulah dikira tepat (14 tahun). Pada tahun 2006 kupiah ini mula dikeluarkan oleh pihak lain terutamanya dari Negara Thailand sehingga ke hari ini. Walaupun begitu falsafah pembuatannya masih dikekalkan iaitu mengikut pesanan Haji Mohd Idris:-

"KITA BUAT UNTUK KEPUASAN PEMAKAINYA, BUKAN KUANTITINYA TAPI KUALITINYA".

Followers